Followers

^^P.A.K.K^^

PENDIDIKAN

Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).

Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam roh dan jiwanya.

Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi  ‘pencapaian tinggi’ yang hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketinggian pencapaian akademik sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya. Maka jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma dalam sel setiap individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlaq murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan

Kepentingan Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal dan Cabaran

Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.

Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan kajian membuktikan bahawa
pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Kajian  yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.

Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom,  dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia. Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.

Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi  kanak-kanak,
diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat  atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun  manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.

Mengapa pendidikan awal penting?

Sebenarnya ransangan minda anak-anak dibawah usia 6 tahun adalah jauh lebih memberi kesan kepada peningkatan IQ dan EQ anak. Seorang pakar pendidikan awal kanak-kanak, Glen Doman selepas 40 tahun mengkaji tentang perkembangan kanak-kanak menyebut tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak berkata:

“Every child born has, at the instant of birth, a higher potential intelligence than Leonardo Da Vinci ever used and It is easier to give a one-year-old encyclopedic knowledge than it is to give it to a six-year-old.”
Maksudnya :
“Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan potensi kebijaksanaan yang lebih tinggi dari Leonardo Da Vinci. Mengajar seorang bayi berusia satu tahun pengetahuan ensiklopedia adalah lebih mudah berbanding budak berusia 6 tahun”.

Selepas anak berusia 6 tahun, 90% dari perkembangan otaknya telahpun sempurna. Perkembangan pesat otak seorang manusia berlaku pada 6 tahun pertama kehidupannya. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah Arab pula menyebut mendidik anak ketika kecil umpama mengukir di atas batu, mendidik ketika anak dewasa mengukir di atas air. Sebab ituah kita harus bertindak lebih awal dalam mendidik anak-anak. Jangan sampai sudah menjadi buluh baru nak dilentur!






klik sini untuk senarai perkembangan, kemahiran dan lain-lain berkaitan kanak-kanak........

No comments:

Post a Comment